Dari sudut bahasa: Lebih / Tambahan. Dari sudut istilah Ilmu Tajwid: Memanjangkan sebutan lebih dari dua harakat ketika membaca huruf Mad (pemanjang) atau Lin yang bertemu dengan huruf Hamzah atau baris Sukun. Huruf Mad terdiri dari tiga huruf iaitu Alif( ا ), Wau( و )dan Ya'( ي ).
Huruf Wau disyaratkan huruf sebelumnya berbaris di hadapan dan huruf Ya' pula disyaratkan huruf sebelumnya berbaris di bawah manakala huruf Alif tidak baris lain yang berada sebelumnya selain baris di atas. Huruf Ya' dan Wau apabila berbaris Sukun dan huruf sebelumnya berbaris di atas, kedua-dua huruf tersebut tidak dinamakan huruf Mad tetapi ia dinamakan Huruf Lin.
1. Mad Tabi'i( المد الطبيعي )atau Mad Asli( المد الأصلى ).
Mad yang terdapat huruf hijaiah selain dari huruf Hamzah dan Sukun selepasnya dan ia dinamakan Tabi'i ialah kerana pembaca yang memiliki sifat kejadian yang sempurna tidak mengurangkan kadar Madnya iaitu dua harakat dan tidak pula melebihi dari itu.
Ketika berhenti dan Sambung
Apabila huruf Mad berada dalam keadaan tetap, sambung dan berhenti, huruf tersebut dibaca secara Mad (panjang) sama ada ketika sambung dan berhenti. Begitu juga sama ada ketika berada di pertengahan kalimah seperti( مالك) (يوصيكم )atau di akhir kalimah seperti( والشمس وضحاها ).
Di dalam bahagian ini disyaratkan tidak terdapat huruf Hamzah atau Sukun selepas huruf Mad.
Ketika Sambung
Mad Asli atau Tabi'i dalam keadaan berhenti sahaja khususnya yang berkaitan dengan Mad Silah Kecil( مد الصلةالصغرى )iaitu huruf Wau kecil yang terdapat selepas Ha' Dhamir berbaris hadapan( ـهُ )dan huruf Ya' kecil terletak selepas huruf Ha' Dhamir berbaris bawah( ـهِ ), begitu juga supaya huruf Ha' kinayah disambung dengan huruf Wau atau Ya', huruf Mad disyaratkan mestilah terletak di antara dua huruf yang berbaris hidup seperti kalimah( إنه هو) (به بصيرا ).
Dalam keadaan ini huruf wau dan Ya' dibaca secara Mad sepanjang dua harakat (dengan syarat tidak terdapat huruf Hamzah yang berasingan darinya di dalam kalimah lain) dalam keadaan sambung tetapi jika dalam keadaan berhenti ia tidak dibaca secara Mad.
Ketika Berhenti
Mad Asli atau Tabi'i dalam keadaan berhenti sahaja akan dibaca secara panjang sekiranya huruf Mad tersebut tetap berada di dalam keadaan berhenti bukan ketika sambung. Ia dibaca panjang pada huruf-huruf Alif yang ditukar dari baris dua di atasnya (Tanwin) seperti( عليمًا حكيمًا )dengan memberhentikan bacaan pada huruf Alif( حكيمًا )dan disyaratkan supaya Alif ini dibaca secara Mad tanpa menyambungnya dengan kalimah yang berada selepasnya.
2. Mad Far'i( المد الفرعي )ialah Mad yang telah ditambah lebih panjang bacaannya dari Mad Asli disebabkan terdapat Hamzah( ء )atau tanda Sukun( ْ )selepas huruf Mad.
a. Mad Muttasil iaitu berangkai( المتصل )ialah Huruf Mad yang bertemu dengan huruf Hamzah dalam kalimah yang sama. Ia dinamakan Mad Muttasil kerana huruf Mad bertemu dengan huruf Hamzah di dalam satu kalimah. Mad Muttasil ialah Mad wajib dan kadar bacaannya adalah empat harakat, lima harakat atau enam harakat ketika berhenti.
b. Mad Munfasil iaitu bercerai( المنفصل )ialah huruf Mad yang disusuli oleh huruf Hamzah (secara berasingan) yang terdapat pada awal kalimah berikutnya. Ia dinamakan Mad Munfasil ialah kerana huruf Mad terpisah dari huruf Hamzah yang terletak di dalam kalimah yang lain. Hukumnya: Harus membacanya secara pendek dengan kadar dua harakat, empat harakat atau lima harakat mengikut bacaan riwayat Hafs. Mad SilahKubra (iaitu huruf Wau kecil yang terdapat selepas Ha' Dhamir berbaris hadapan( ـهُ )dan huruf Ya' kecil terletak selepas huruf Ha' Dhamir berbaris bawah( ـهِ )) juga termasuk di dalam hukum Mad Munfasil. Apabila terdapat huruf Hamzah yang berada dalam keadaan berasingan di dalam kalimah berikutnya selepas huruf Wau Silah dan Ya' Silah, hukumnya adalah mengikut hukum Mad Munfasil jika dalam keadaan sambung tetapi jika dalam keadaan berhenti, ia tidak boleh dibaca secara Mad.
c. Mad 'Aridh( العارض للسكون )ialah Mad yang bertemu dengan huruf Lin Sukun Aridh (Sukun yang mendatang) kerana ingin menghentikan bacaan. Ia dinamakan 'Aridh (mendatang) ialah kerana huruf terakhir di dalam kalimah tersebut terpaksa dibaca dengan Sukun kerana memberhentikan bacaan padanya, jika sekiranya bacaan disambung, ia akan menjadi Mad Tabi'i. Hukumnya: Harus membacanya dengan tiga bentuk bacaan: Membaca secara pendek dengan kadar dua harakat, membaca secara pertengahan dengan kadar empat harakat dan membacanya secara sempurna dengan kadar enam harakat seperti:( الحمد لله رب العالمين ).
Mad 'Aridh mengambil hukum Mad Lin iaitu memanjangkan bacaan Wau dan Ya' Sukun dan terdapat huruf berbaris atas sebelum Wau dan Ya' ketika berhenti. Ia dinamakan dengan nama tersebut ialah kerana sebutannya terlalu lembut dan mudah seperti di dalam ayat:( فليعبدوا رب هذا البيت )
d. Mad Badal( البدل )ialah huruf Hamzah berada sebelum huruf Mad di dalam satu kalimah dan tidak terdapat huruf Hamzah atau Sukun selepas huruf Mad. Ia dinamakan dengan Mad Badal ialah kerana kebiasaannya huruf Mad ditukar dari huruf Hamzah kerana asal Mad Badal ialah bertemu dua Hamzah di dalam satu kalimah di mana Hamzah pertama berbaris hidup dan Hamzah kedua berbaris Sukun (mati).
Huruf Hamzah kedua ditukar kepada huruf Mad mengikut baris huruf Hamzah pertama untuk meringankan bacaan. Jika huruf Hamzah pertama berbaris di atas, huruf Hamzah kedua ditukar menjadi huruf Alif( ا )seperti:( آمنوا )kerana asalnya( ءأمنوا ).Jika huruf Hamzah pertama berbaris di bawah, huruf Hamzah kedua ditukarkan menjadi huruf Ya' seperti:( إيمانا )kerana asalnya( إئمانا ).
Sekiranya huruf Hamzah pertama berbaris hadapan, huruf Hamzah kedua ditukar menjadi huruf Wau( و )seperti:( أوتوا )kerana asalnya( أؤتوا ).
Hukumnya: Ia dibaca secara Mad dengan kadar dua harakat seperti Mad Tabi'i.
e. Mad Lazim( المد اللازم )iaitu huruf Mad yang disusuli dengan tanda Sukun asli tetap di dalam bacaan bersambung atau berhenti sama ada di dalam satu kalimah atau harf (sendi nama).
Ia dinamakan Mad Lazim (Tetap) ialah kerana bacaannya mestilah dibaca dengan enam harakat tanpa berubah, begitu juga kerana sebabnya iaitu Sukun ketika bacaan sambung dan berhenti.
- Mad Lazim Harfi Muthaqqal( المد اللازم الحرفي المثقل )ialah huruf Mad yang disusuli dengan Sukun asli pada salah satu huruf hijaiah dengan syarat ia bertasydid. Ia dinamakan Harfi ialah kerana terdapat Sukun asli pada salah satu huruf hijaiah yang berada selepas huruf Mad di permulaan surah. Ia dinamakan Muthaqqal ialah kerana terlalu berat untuk menyebutnya disebabkan terdapat Tasydid pada Sukunnya. Hukumnya adalah wajib dibaca secara Mad enam harakat seperti huruf Lam di dalam kalimah( الم ).
- Mad Lazim Harfi Mukhaffaf( المد اللازم الحرفي المخفف ).
Iaitu selepas huruf Mad terdapat Sukun asli pada salah satu huruf hijaiah yang tidak bertasydid. Ia dinamakan Mukhaffaf kerana sebutannya terlalu ringan disebabkan ia tidak bertasydid dan tidak berdengung seperti huruf Mim di dalam( الم ).
Perhatian penting: Huruf hijaiah yang terletak di permulaan surah terdiri dari empat belas huruf terkumpul di dalam bait syair( صله سحيرا من قطعك )dan ia terbahagi kepada empat bahagian: Pertama: Ejaannya terbentuk dari tiga huruf di mana terdapat huruf Mad di pertengahannya. Ia terdiri dari tujuh huruf yang terkumpul di dalam bait syair( كم عسل نقص )kecuali huruf 'Ain. Bahagian ini dibaca enam harakat dengan sempurna. Kedua: Ejaannya terbentuk dari tiga huruf di mana huruf Lin terdapat di pertengahannya iaitu huruf 'Ain. Huruf ini harus disempurnakan dengan bacaan enam harakat dan bacaan pertengahan empat harakat. Ketiga: Ejaannya terbentuk dari dua huruf di mana huruf keduanya ialah huruf Mad dan huruf-hurufnya adalah sebanyak lima huruf yang terhimpun dalam bait syair( حي طهر ).
Bahagian ini dibaca secara Mad Tabi'i dengan kadar dua harakat. Keempat: Ejaannya terbentuk dari tiga huruf di mana tidak terdapat satupun huruf Mad di pertengahannya. Ia terdiri dari satu huruf iaitu Alif dan tidak terdapat padanya huruf Mad.
- Mad Lazim Kalimi Muthaqqal( المد اللازم الكلمي المثقل ).
Iaitu selepas huruf Mad terdapat huruf bertasydid di dalam satu kalimah, hukumnya ia dibaca dengan enam harakat. Ia dinamakan Muthaqqal kerana berat atau susah untuk menyebutnya disebabkan terdapat tasydid pada Sukunnya. Contohnya Alif di dalam kalimah( الضالين ), dari firman Allah s.w.t( غير المغضوب عليهم ولاالضالين ).
- Mad Lazim Kalimi Mukhaffaf المد اللازم الكلمي المخفف . Iaitu selepas huruf Mad terdapat huruf Sukun yang tidak bertasydid di dalam satu kalimah. Hukumnya wajib dibaca dengan enam harakat. Ia dinamakan dengan Kalimi kerana terdapat Sukun asli selepas huruf Mad di dalam satu kalimah. Ia dinamakan Mukhaffaf kerana ringan atau mudah menyebutnya disebabkan keadaannya yang tidak bertasydid dan tidak berdengung. Contohnya di dalam kalimah( أالآن )di dalam dua tempat surah Yunus ayat lima puluh satu dan sembilan puluh satu malah tidak terdapat di dalam al-Quran selain dari dua tempat tersebut.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar